Translate

HENTIKAN GANGGUAN SEKSUAL KE ATAS KAUM LELAKI






Mungkin ada yang pelik apabila kali pertama melihat tajuk di atas, dan tertanya-tanya bagaimana boleh berlakunya gangguan seksual ke atas lelaki, bukankah yang selalu menjadi mangsa gangguan seksual adalah golongan wanita? Sama ada di tempat kerja di tempat awam dan sebagainya sering kita mendengar menjadi mangsa gangguan seksual, namun
hampir tiada pula dikatakan lelaki mengalami gangguan seksual.

Ya, begitulah kata orang. Namun, tiada disebut itu bukannya bermakna tiada. Sebenarnya hari ini orang lelaki adalah kelompok yang mengalami gangguan seksual paling kuat di mana-mana saja. Terutama di pusat membeli belah.

Contoh bentuk gangguan seksual yang berlaku ke atas lelaki:

1. Memakai pakaian yang tidak menutup aurat dihadapadan lelaki bukan mahram.

2. Berbicara dengan nada suara yang menggoda, lembut dan manja sehingga memungkinkan lelaki bernafsu kepadanya.

3. Memakai wangian yang begitu kuat sehingga menarik lelaki kepadanya.

4. Menutup aurat, tetapi bertabarruj dan berhias-hiasan. Sedangkan antara tujuan menutup aurat itu adalah agar diri tidak menjadi perhatian lelaki.

5. Memakai pakaian yang membalut aurat, ketat dan sempit sehingga menampakkan bentuk badan.
Kepada para wanita, jaga dan lindungi diri anda daripada menjadi fitnah ke atas kaum lelaki. Keindahan dan kecantikan anda bukanlah terletak pada paras rupa dan penampilan semata-mata, tetapi kecantikan sejati anda adalah terletak pada sejauh mana anda mengamalkan agama Allah s.w.t dalam kehidupan seharian.

Kepada para lelaki, lindungilah wanita, dan tundukkanlah pandangan kita daripada perkara yang diharamkan oleh Allah s.w.t. Sesungguhnya barangsiapa yang meninggalkan sesuatu yang haram kerana Allah s.w.t, nescaya Allah s.w.t akan menggantikan baginya sesuat daripada perkara yang halal dan lebih baik daripada apa yang ditinggalkannya daripada perkara yang haram.

Firman Allah s.w.t:

“Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan. dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki Yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak Yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa Yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah An-Nur: 30-31)